Tuesday 23 April 2024

SEMANGAT BN KEKALKAN KESETIAAN DAN KESTABILAN

 
Tiba-tiba, baru saya diingatkan wujudnya "Semangat BN", macam dah lama terbenam semangat yang dipupuk sejak ditubuhnya Barisan Nasional pada 1973 bagi menggantikan Perikatan.
 
BN kalah teruk pada PRU yang lepas, kita kehilangan banyak kerusi disebabkan kehilangan sokongan semua kaum, Melayu tak sokong UMNO, Cina tak sokong MCA mahupun India tak sokong MIC.
 
BN cuma tinggal 30 kerusi, "tiba-tiba" BN "ditarik" masuk Kerajaan Perpaduan, ada pihak yang dapat jawatan kerajaan, ada pihak yang diketepikan. Sudah 17 bulan MCA (dan MIC) diketepikan, diabaikan, dicampak dan disepak ke kiri kanan, dilucutnya semua jawatan kerajaan pusat termasuk pegawai-pegawai di jabatan, begitu juga jawatan badan berkanun.
 
Selain itu, MCA dikutuk, dicaci, dijadikan bahan lawak termasuk dilabel "biawak hidup" oleh Pengarah Komunikasi UMNO.
 
Dalam PRN 6 negeri, MCA dinafikan peluang untuk bertanding, bukan setakat itu, MCA juga sering dibuli dan diserang oleh pemimpin-pemimpin DAP yang mahu jahanamkan MCA, namun kita tak nampak Abang Besar dalam BN membela nasib MCA, (begitu juga MIC yang mengalami nasib yang sama).
 
Sehingga yang terbaru, SUA DAP, Anthony Loke telah mengeluarkan kenyataan " saya bukan tak suka BN tapi cuma tak suka MCA". Yang dulu dia kutuk dan maki hamun dengan UMNO, dikatanya "saya menentang UMNO iaitu sebuah parti penyamun dan perasuah".
 
Ada juga pemimpin DAP yang mendesak MCA keluar daripada BN, padahal apa hak mereka? Dimana pula semangat perpaduan dalam kerajaan ini?
 
Kini, datangnya PRN KKB, tanpa Mesyuarat Majlis Tertinggi BN, Pengerusi BN telah mengumumkan BN akan sokong calon PH iaitu DAP, MCA dan MIC pula membuat keputusan tidak akan membantu berkempen melainkan calon BN.
 
Dalam keadaan sebegini, dalam masa inilah tiba-tiba wujud semula Semangat BN, yang mana UMNO hendakkan MCA dan MIC turun padang membantu calon PH.
 
Apa logiknya nak MCA membantu parti yang berusaha bersungguh- sungguh nak jahanamkan MCA? Kan dia orang yang dah nyatakan mereka tak suka MCA, tak dengar ke pemimpin-pemimpin UMNO ini?
 
Cukuplah! Biarlah MCA buat keputusan sendiri, yang UMNO nak berpeluk dan cium mulut dengan DAP, itu hak kamu, kami tak dapat campur tangan, pada masa yang sama juga jangan campur tangan keputusan MCA.
 
Akhirnya saya nak tanya wujud lagi ke "Semangat BN yang tulen" yang diwarisi turun temurun oleh pemimpin-pemimpin agung BN kita yang lepas?
 
Koh Chin Han
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA