Tuesday 29 March 2016

Kisah Ratu Balqis

Ibnu Katsir meriwayatkan bahawa Saba adalah gelaran bagi raja dari Yaman. Ratu Saba atau Balqis adalah seorang daripadanya. Ratu Balqis dianugerahi Allah segala kekuasaan dan kehebatan. Semua itu adalah dugaan dan ujian terhadap baginda serta kaumnya.

Bagaimanapun, Ratu Balqis dan kaumnya masih tidak beriman kepada Allah. Mereka yang diperdaya oleh syaitan menganggap bahawa perbuatan menyembah matahari adalah suci dan mereka terhalang daripada mendapat petunjuk Allah.

Allah menjelaskan kisah Ratu Balqis dengan tepat dalam surat al-Naml, ayat 20-44.

Kehebatan kerajaan Ratu Balqis diceritakan oleh burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman. 

Di sinilah bermulanya perundingan dan penawaran Nabi Sulaiman supaya Ratu Balqis menerima risalah Allah. 

Kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis bermula apabila seekor burung dipanggil Hud Hud menceritakan mengenai keadaan Ratu Balqis dan kaumnya yang tidak berpegang kepada jalan Allah.

Pada suatu hari, Nabi Sulaiman memeriksa pasukannya yang disertai oleh haiwan, burung dan bangsa jin. Namun, dalam barisan itu, Hud Hud tidak kelihatan.

Baginda kemudian berkata: "Aku tidak melihat Hud Hud di sini. Jika burung itu tidak hadir kerana alasan yang tidak tepat, aku akan menghukum atau menyembelihnya." 

Hud Hud segara muncul dan dengan rendah hati berkata kepada Nabi Sulaiman: "Aku datang membawa berita yang sangat penting untukmu yang tidak kau ketahui sebelumnya." 

"Ada seorang Ratu di Yaman. Dia sangat kaya raya dan kekuasaannya sangat luar biasa. Syaitan telah membawanya dan pengikutnya ke jalan yang menyimpang. Mereka memuja matahari dan bukan Allah."


Nabi Sulaiman berkata: "Aku akan membuktikan kenyataanmu segera. Kirimkan suratku ini kepadanya dan kita tunggu reaksi daripadanya."


Ratu Balqis membaca surat itu sebaik menerimanya. Kemudian dia berkata kepada penasihatnya: "Surat ini daripada Sulaiman yang menyatakan "Aku memulakan dengan menyebut nama Allah, yang Maha Pemurah dan Penyayang. Janganlah tunjukkan kesombongan kepadaku, dan datanglah kepadaku sebagai seorang Muslim."
 

Ratu Balqis kemudian berkata kepada penasihatnya: "Aku selalu meminta nasihatmu dalam hal-hal penting, katakan apa yang harus aku lakukan?"
 

Penasihat menjawab: "Kita tidak perlu khuatir mengenai surat ini kerana kita sangat berkuasa. Tetapi, bagaimanapun keputusan terakhir tetap berada di tanganmu." 

Ratu Balqis menjawab: "Pertama kita harus menguji berapa besarkah kekuasaannya. Sesungguhnya cara surat ini tiba mengisyaratkan bahawa kita harus berhati-hati dalam menghadapi Sulaiman. 

"Aku akan mengirimkan utusan untuk membawa hadiah yang mahal. Dengan cara ini, kita bukan saja dapat mengukur kekuasaannya, malah menduga apa yang ada dalam fikirannya. Aku tidak menyarankan untuk berperang melawannya kalau dia seorang yang lebih kuat. 

Penyerang selalu merosakkan kota yang dikalahkan dan memalukan penduduknya. Kita harus menghindarkan ancaman yang tidak diharapkan ini."


Utusan Ratu Balqis kemudian menyerahkan hadiah berharga itu kepada Nabi Sulaiman. Baginda berkata kepada mereka: "Kamu dan Ratumu sungguh sudah menyalahertikan pesananku. Bawalah kembali barang yang kau sebut hadiah ini kepada Ratumu kerana Allah telah memberi kepadaku kurniaan yang jauh lebih berharga daripada ini. Kamu semua tidak mampu melawan pasukanku, kami akan mengusir kamu dan memalukan kamu."
 

Utusan itu menyampaikan peringatan Nabi Sulaiman itu kepada Ratu Balqis. Dia turut memberitahunya kebesaran kekuasaan Nabi Sulaiman yang menguasai manusia, burung, haiwan dan jin.

Ratu Balqis menyimpulkan bahawa berperang melawan Nabi Sulaiman sama saja dengan mengundang kehancuran dirinya. Dia memutuskan untuk menyerah kepada Nabi Sulaiman.

Ketika dia bergerak memulakan perjalanannya menemui Nabi Sulaiman, Allah memberitahu Nabi Sulaiman mengenai perkara itu dengan menurunkan wahyunya. 

Nabi Sulaiman memerintahkan pembantu: "Aku mahu singgahsana Ratu Balqis dipindah ke sini sebelum dia tiba ke kerajaanku."


Seorang jin yang sangat kuat dan cerdik berkata: "Aku mampu membawa singgahsana itu ke sini sebelum petang tiba."
 Seorang lagi jin yang berpengetahuan luas dalam kitab berkata: "Aku mampu membawanya ke sini dalam sekelip mata." Lalu, ketika itu, ternyata singgahsana itu telah tiba di istananya. 

Nabi Sulaiman dengan rendah hati berterima kasih kepada Allah di atas segala kurniaan-Nya, termasuk memindahkan singgahsana itu dalam sekelip mata.

Nabi Sulaiman kemudian memerintahkan untuk mengubah sedikit penampilan singgahsana Ratu Balqis untuk menguji kecerdasannya. 

Ratu Balqis tiba di istana Nabi Sulaiman dan bertanya: "Apakah ini singgahsanamu?"
 Dia melihat dan berkata: "Kelihatan seperti singgahsana kepunyaanku."

Ratu Balqis berkata lagi: "Aku cukup mengetahui kekuatan dan kebesaranmu yang luar biasa, tetapi kejadian memindahkan singgahsanaku ke sini menambah bukti keunggulanmu. Aku dengan rendah hati menyerah kepadamu." 

Ratu Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai akal cerdas. 

Golongan jin yang iri hati dengannya membisikkan bahawa Ratu Balqis mempunyai dua aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua betisnya seperti betis unta.

Nabi Sulaiman sangat cerdik. Baginda menggunakan cara lain untuk memperlihatkan kekuasaan Allah kepada Ratu Balqis. Baginda memerintahkan supaya jin mengubah sedikit singgahsana Ratu Balqis dan membina sebuah mahligai diperbuat dari kaca. Bahagian bawah mahligai itu dan sekelilingnya mengalir sungai dengan berisikan ikan. Di atas air itu dibuat sebuah jambatan daripada kaca.

Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: "Apakah ini singgahsanamu? Ratu Balqis menjawab: Mungkin!

Daripada jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman bahawa dia adalah seorang wanita berakal sempurna serta bijaksana.

Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika Ratu Balqis melihat ke dalam istana, dia melihat seakan-akan ada air mengalir lalu mengangkat kainnya, hingga betisnya tersingkap. Nabi Sulaiman melihat betisnya itu, tidak ada apa-apa aib pun seperti yang dikatakan jin.

Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: "Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk daripada kaca."
 Ketika itu Ratu Balqis berkata dalam hatinya: "Walaupun kerajaanku luas, singgahsanaku indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun dibandingkan dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak bererti."

Kemudian Ratu Balqis berkata seperti yang disebut dalam al-Quran, yang bermaksud: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam."
 (Surah al-Naml, ayat 44)

Dengan itu, Ratu Balqis menjadi seorang Muslimah. Ratu Balqis juga membawa seluruh dinastinya yang besar dalam kekuasaan Nabi Sulaiman.

No comments:

Post a Comment